Aku dilahirkan dalam satu keluarga mewah berbangsa Cina. Apabila aku tamat dalam SPM ku, ayahku begitu berminat untuk menghantarku menyambung pelajaran ke Jepun di bidang kejuruteraan. Segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh ayah. Apabila aku tamat nanti, dia mahu aku membantunya dalam perniagaan. Setelah sampai masanya, dan jawapan menyatakan aku telah diterima untuk belajar di sana, jamuan secara besar-besaran telah diadakan di rumahku. Kesemua sanak saudara dan sahabat handai telah dijemput oleh ayah.
Esoknya, aku ditemani sendiri oleh ayah berangkat ke Jepun dan diiringi oleh sanak saudara hingga ke lapangan terbang. Ayah turut sama ke Jepun dengan tujuan di samping menghantarku, ia juga menguruskan perniagaannya. Setelah ayah menguruskan tempat tinggalku dan pendaftaran di Universiti tempat aku belajar, barulah ayah berani meninggalkan aku bersendirian.
Setelah dua hari aku belajar di situ, aku telah berkenalan dengan seorang pemuda Jepun yang sangat kacak rupanya dan beragama Islam. Bukan tidak ada pelajar Malaysia untuk aku bergaul, malah memang ramai, tapi entah mengapa pemuda Jepun itulah yang menarik minatku. namun pemuda Jepun itu sendiri memang suka bergaul dengan pelajar Malaysia terutama yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Katanya, orang Melayu lemah lembut, sopan santun dan pandai mengambil hati orang.
Masa terus berlalu. Setelah agak lama berkenalan dengannya, lama kelamaan aku begitu berminat terhadap agama yang dianutinya, hingga aku suka bertanyakan itu dan ini tentang Islam kepadanya. Manakala dia pula begitu berminat untuk menceritakan kepadaku pelbagai perkara tentang Islam, termasuklah tentang ke-Esaan Allah. Memang agama yang aku anuti pada masa itu jauh berbeza, malah aku merasakan agama Islam itu lebih indah dan lebih cantik. Dan terasa agama yang kuanuti itu banyak salah dan silapnya.
Akhirnya, aku tunduk dan mengakui ke Islamanku di hadapannya. Pada hari yang ditentukan, aku telah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan pelajar-pelajar Malaysia. Tetapi pengIslamanku itu tidak aku ceritakan kepada keluargaku. Aku merahsiakan segala-galanya.
Seperti biasa apabila tiba akhir tahun, aku pulang ke Malaysia untuk menemui keluargaku. Kepulanganku tidak menimbulkan apa-apa syak wasangka kepada mereka. Ketika itu, pakaianku masih belum berubah. Aku masih kelihatan biasa dan seperti dulu juga. Soal makanan tidak merunsingkanku, kerana keluargaku tidak suka makan babi. hanya yang merungsingkan, ayah begitu suka memelihara anjing. Dan dulu pun, aku suka memanjakan anjing yang dipelihara oleh ayah.
Namun setelah beberapa hari berlalu, ibu mula mengesyaki sesuatu. Setiap kali suara azan kedengaran dari masjid, ibuku sering mendapati aku mengurungkan diri di bilik. Perubahan paling besar, aku tidak suka kepada anjing peliharaan ayah. Bila ibuku mengajak aku ke rumah ibadah, aku sering menolak dengan bermacam-macam alasan.
Hinggalah menjelangnya Tahun Baru Cina, segala-galanya telah terbongkar apabila ayah memanggilku untuk meraikan Tuhan mereka pada malam tahun Baru Cina itu. Aku enggan pergi. Bila ayahku bertanya, aku katakan tidak sihat.
Tetapi tiba-tiba ibu menjawab, "Ah! Dia tu setiap kali diajak ke rumah ibadah, dia selalu buat alasan. Tak sihatlah, nak studylah, letihlah, mengantuklah, macam-macam. Dulu takpun macam ni, ini mesti ada sesuatu. Aku dah lama nak sampaikan pada kau perkara ini, tapi kau selalu sibuk."
Ayah merenungku dalam-dalam. Kemudian kakinya melangkah masuk ke bilikku dan menghampiriku dalam keadaan terbaring di katil. "Apa kau sudah membenci agamamu Swee Eng?" Soal ayah.
Aku terdiam kaku.
"Kau dah jadi free-thinker ke?" Begitulah yang ayah faham. Ayah tahu, ramai anak muda yang ke luar negeri tidak mempercayai Tuhan.
Aku hanya menggelengkan kepada."Habis? Kau sudah tukar agamamu? Kau telah Kristian Ke?"
Aku gelengkan kepala. Melihatkan keadaanku, ayahku lantas menuju ke almari pakaianku. Ayah jadi terkejut bila melihat dalam almariku tersimpan sepasang telekung.
"Swee Eng.... Apa benarkah ini!?" Jerit ayah. Aku lihat ibuku juga turut terkejut.
"Swee Eng!!!" Jerit ibuku.
Pada malam itu sisi keluarga berkumpul di bilikku. Termasuk abang dan kakakku.
"Swee Eng..... usia kau belum dua puluh satu tahun lagi, kau belum boleh diberi kunci lagi untuk berlaku bebas dalam rumah ini!" Herdik ayah tak dapat menahan sabar lagi.. Dia mengangkat tangannya untuk menamparku. Ibuku menangis sambil dipujuk oleh kakakku. Aku terpaku di katilku sambil merenung bantal dan hanya mampu menitiskan air mata. Dalam hati ku berdoa, semoga Allah selamatkan diriku. Aku sudah cintakan Islam dan tidak mahu tinggalkan agama yang suci ini.
"Ayah, sabarlah ayah. Berilah dia tempoh untuk berfikir," pujuk abangku.
"Baik! Aku beri kau masa untuk berfikir. Bila kau pulang ke Jepun nanti, kau fikirkanlah perkara ini masak-masak. Bila kau dan bertukar fikiran, kau kirimlah surat untuk kami di sini. Atau bila ayah ke Jepun nanti, kau beritahulah ayah. Dan ayah harap, kau jangan tinggalkan untuk sambut Tahun baru bersama-sama esok.' kata ayah dan terus meninggalkan bilikku. Kemudian seorang demi seorang meninggalkan bilikku.
Akhir sekali meninggalkan bilikku ialah abangku.
"Kau fikirlah seadil-adilnya Swee Eng, kerana kau berhak menentukan masa depanmu sendiri," kata abang. Kata-kata abang itu dapatlah menenangkan sedikit fikiranku yang kusut apabila mendengar amaran ayah tadi.
Esoknya, Tahun Baru Cina, aku tetap berdegil tidak mahu keluar dari bilik meskipun dipujuk oleh ayah dan ibu sendiri. Hingga ayahku menyumpah-nyumpah dengan kata-kata yang sungguh menyakitkan hati.
"Anak sial. tak bawa untung. Kita suruh dia belajar di luar negeri untuk bantu kita, dia buat perangai pula. Nantilah dia, nanti dia tau siapa aku. Ingat. Kalau kau masih tak kembali kepada agama datuk nenek kau, aku bukan ayahmu lagi. Hari ini berkurunglah kau dalam bilik ini, anak sialan! Letih ibumu melahirkanmu. Tak ada hasil..... Bawa celaka......" Kemudian ayahku berlalu.
Pada hari itu, aku hanya mengurugkan diriku di bilik. Suara riuh di ruang tamu rumahku benar-benar membingitkan telingaku. Maklumlah, pada hari itu ayah mengadakan hari terbuka, kerana ayah adalah seorang yang berpangkat Datuk.
Dari awal pagi lagi aku tidak memasukkan apa-apa ke dalam perutku. Aku terpaksa berpuasa pada kerana semua masakan yang dimasak oleh ibu benar-benar tidak lagi menyelerakanku. Walaupun keluargaku tidak suka makan daging babi, tapi aku tahu masakan ibu pasti memasukkan juga sedikit minyaknya. Ini menyebabkan tekakku menolaknya dari menerima makanan tersebut.
Bila hari hampir menjelang Maghrib, aku memohon izin dari ayah untuk pergi ke rumah sahabatku. Pada mulanya ayah enggan mengizinkan aku ke mana-mana hari itu. tapi atas pujukan abangku, akhirnya ayah melepaskan juga aku pergi.
"Daripada dia lari, baiklah dia pergi dalam pengetahuan kita ayah. Lepaskanlah derita hatinya, mudah-mudahan, dia dapat berfikir dengan tenang dan kembali kepada Tuhan kita," pujuk abang.
Aku terus ke rumah Marlia, sahabat Melayuku untuk berbuka puasa pada hari itu. Beliau kasihan mendengar ceritaku, dan mempelawa aku untuk tinggal di rumahnya sepanjang cutiku ini. Tapi aku enggan. Aku memberi alasan. "Tak apalah dulu Marlia, selagi aku boleh mempertahankan imanku, selagi itulah aku akan tinggal di rumah. Kerana kalau aku lari dari mereka, ia lebih menyakitkan hati mereka," jawabku.
Setelah habis cuti aku kembali ke Jepun. Pemergianku kali ini tidak lagi diiringi oleh sanak saudara, jauh sekali ayahku. Cuma abangku saja yang simpati padaku. Dialah yang menghantarkan aku ke lapangan terbang dan dia jugalah yang memberikan perangsang untukku terus belajar tanpa putus asa.
Setelah tiga bulan, ayahku datang sendiri ke Jepun untuk menemuiku. Kalau dulu soalan yang pertama yang selalu ditanyakan oleh ayah adalah, "Apa khabar Swee Eng?", tetapi kali ini yang ditanya oleh ayah, "Bagaimana, kau sudah fikirkan masak-masak masa depanmu?"
"Sudah ayah," jawabku sepatah.
"Kalau begitu, bagaimana pilihanmu? Masihkah engkau membenci agama datuk nenekmu?"
Aku menjawab, "Ayah, saya lebih sukakan Islam. Dan saya lebih kasih dan cintakan Islam daripada segala-galanya, ayah."
"Cih sial! Betul-betul kau kena sihir. Mana orang yang bertanggungjawab meng-Islaman kau? Aku mahu jumpa. Kalau boleh aku mahu bunuh dia!" Marah ayahku.
"Dalam hal ini ayah tak boleh menyalahkan sesiapa, ini semua atas kehendak Swee Eng sendiri ayah," kataku.
"Baiklah, kalau atas kehendak engkau, kautinggallah di sini. Aku benci kau. Apa nak jadi dengan kau, jadilah. Kau bukan anakku lagi. Jangan harap duit untuk kau akan sampai. Aku tak akan mengirimkan walau sesen pun!" Itulah keputusan ayah. Dan dengan itu ayah terus pergi meninggalkanku. Tinggallah dan keseorangan dalam kesedihan.
Tika itu aku merasakan dunia ini terlalu sepi, tiada siapa tempat untuk aku mengadu. Tiada siapa yang dapat aku minta pertolongan. Apakah sahabat-sahabatku yang dulunya di waktu aku senang, sudi menolongku? Oh Tuhanku! Apakah hikmah kejadian ini? Aku benar-benar buntu, tiada tempat untukku mengadu. Segala-galanya aku serahkan kepada Allah.
Lalu aku mengadu pada Tuhanku, "Tuhan! Selalunya orang yang mempertahankan kebenaran itu akan dihina dan disisih. Biasanya dia dalam kemiskinan dan kesepian kerana dibenci. Tapi Tuhan! Aku yakin dengan kemurahan dan kekuasaan-Mu. Oleh itu wahai Tuhan, pada-Mu sajalah yang aku harapkan agar Kau bantulah aku dan tolonglah aku."
Apa yang tinggal padaku hanyalah wang simpanan dalam buku akaunku. tapi ia hanya cukup untuk tambang pulang ke Malaysia dan tidak mencukupi untukku tinggal setahun di sini. Aku serba salah untuk menceritakan perkara ini kepada rakan-rakanku kerana aku sendiri faham masalah kami pelajar-pelajar yang tinggal di luar negeri.
Dalam aku kebuntuan itu, tiba-tiba aku mendapat sepucuk surat dari abangku. Abang faham kedudukanku, setelah diceritakan oleh ayah sewaktu pulang dari Jepun. Abang begitu simpati dengan nasibku dan menyuruh aku meneruskan pelajaranku dan berjanji akan membantuku.
Menurut abangku, dia juga berminat untuk memeluk Islam, tapi belum masanya kerana dia mahu anak-anak dan isterinya turut sama memeluk agama Islam.
Namun begitu, pertolongan abang tidak lama. Ayah akhirnya dapat tahu apa yang dilakukan oleh abang. Ayah melarang abang dari membantuku.
Rasa-rasanya di saat itu ingin saja aku berhenti dari belajar dan pulang saja ke Malaysia. Siapa lagi yang mahu menolongku untuk aku meneruskan pelajaranku? Aku benar-benar gelisah. Wang yang ada padaku hanya benar-benar cukup untuk tambang balik ke Malaysia. Tapi di Malaysia pun, di mana aku mahu pergi? Di mana??? mana ada saudara maraku yang beragama Islam? Mohon pertolongan pada kawan-kawan? Sudikah mereka menolongku? Rasa-rasanya di ketika itu ingin aku kembali menukarkan agamaku ke agama asal.
Tapi lama kelamaan, keresahan hatiku dapat juga dibaca oleh rakan karibku iaitu pemuda Jepun itu. Dia mahu aku meneruskan pelajaranku dan mahu mengambilku sebagai isterinya agar aku mendapat perlindungan dan bimbingan dalam Islam, kerana keluarganya kesemuanya beragama Islam. Setelah berfikir panjang, aku setuju menjadi isterinya.
Di saat itu, barulah aku terasa dunia yang gelap ini kembali cerah dan bersinar kembali. Setelah aku berkahwin, aku kembali ke Malaysia dengan membawa suamiku untuk aku perkenalkan kepada keluarga. Ayah tidak dapat berkata apa-apa lagi kerana aku sudah menjadi milik orang. ibu hanya meraung melihat perubahan sikapku. manakala abangku hanya berkata kepadaku, "Semoga kau bahagia."
Ketika itu betapa syukurnya aku kerana Allah telah melepaskan aku dari segala kedukaan dan kebuntuan.
Begitulah Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah swt. Setiap mehnah yang ditimpakan kepada hamba-hamba-Nya hanyalah untuk menguji sejauh manakah kesabaran kita dalam menghadapi ujian-ujian yang ditentukan-Nya.
Allah yang maha Penyayang tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya terus dalam penderitaan. Setelah hati benar-benar berserah dan memohon pada-nya, Dia akan berikan bantuan tanpa diduga-duga. Sesungguhnya Allah tidak kejam. Setiap penderitaan akan sentiasa diselang-seli dengan kegembiraan.
Andainya hamba itu seorang yang bersyukur bukan saja kegembiraan itu Allah berikan di dunia ini, malah di Akhirat lebih-lebih lagi. Itulah keadilan Allah dan bijaksananya Allah. Oh Tuhan! Kaulah Maha Penyayang yang melepaskan penderitaan ini. Semoga kau akan sentiasa membantu dan menolongku wahai Tuhan!
0 Komen:
Post a Comment