Sertai Kami di Facebook

Please Wait 300 Seconds...!!!

x
Home » » Rahmat Disebalik Bencana

Rahmat Disebalik Bencana


Kehidupan manusia tidak sunyi dari melalui berbagai pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Tidak ada siapa yang ingin melalui pengalaman yang pahit dalam hidupnya tetapi kita tidak boleh lari dari takdir ini. Mahu atau tidak terpaksa diterima.

Begitulah juga dengan ajal dan maut Tiada siapa yang mahu menyaksikan keadaan maut yang mengerikan atau terlibat dalam keadaan yang ngeri ini. Tetapi begitulah, takdir Tuhan tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang dapat menjangkakan perkara ini akan berlaku.

Selalunya kita akan bersimpati dengan keluarga yang menemui ajal tersebut tetapi kita tidak berapa hendak mengetahui tentang keadaan orang yang bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian tersebut terutamanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana mereka dikatakan sebagai pihak yang 'bersalah'.

Pengalaman seorang pakcik yang sempat ditemui oleh kami jelas membayangkan peristiwa tersebut tidak mungkin dapat dilupakan walaupun telah setahun berlalu.

Kegembiraan yang diidamkan oleh Pakcik Ali dengan membawa keluarganya bercuti ke utara telah membawa kecelakaan dan pengalaman pahit yang amat menyayat hati.

"Pakcik tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita ini tetapi perasaan dan fikiran pakcik sentiasa teringatkan peristiwa tersebut. Hinggakan di dalam tidur peristiwa tersebut sering menjadi mimpi yang menakutkan," jelas beliau dengan nada yang agak sayu.

Pada pagi hari kejadian tersebut Pakcik Ali, isterinya dan dua orang anak mereka begitu gembira sekali, maklumlah peluang untuk bercuti ke utara bukannya mudah untuk diperolehi tambahan lagi Pakcik Ali merupakan seorang ahli perniagaan yang sentiasa sibuk dan peluang untuk bercuti bersama keluarga tidak mungkin dilepaskannya.

"Sebaik sahaja kereta pakcik hendak keluar dari daerah Selangor untuk menuju ke utara, tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak yang pakcik tidak tahu dari mana datangnya, berlari melintas di hadapan kereta pakcik yang sedang bergerak laju," sambung Pakcik Ali lagi.

"Pakcik tak tahu apa yang hendak pakcik gambarkan ketika perkara ini berlaku. Apa yang pakcik nampak adalah kanak-kanak tersebut melambung ke bahagian hadapan kereta pakcik dan kemudiannya jatuh ke atas jalan," ujar Pakcik Ali dengan wajah yang sedih, mungkin peristiwa setahun yang lalu semakin jelas terbayang di otak kepala-nya.

Jeritan isteri dan anak-anak yang duduk di belakang juga tidak didengari oleh Pakcik Ali ketika peristiwa ini berlaku kerana ingatannya hanya tertumpu kepada kanak-kanak yang telah dilanggarnya tadi. "Bermacam perasaan bercampur aduk dalam fikiran pakcik ketika itu. Perasaan gementar, takut, terkejut dan berbagai lagi perasaan bermain di dalam kepala. Tetapi nasib baiklah pakcik dapat mengawal keadaan kereta.

Kalau tidak mungkin pakcik tidak dapat menceritakan pengalaman ini dan keluarga pakcik juga hanya tinggal nama sahaja," ujar beliau lagi.
Dalam sekelip mata sahaja tempat kejadian dikerumuni oleh penduduk kampung berhampiran yang ingin menyaksikan kejadian apakah yang telah berlaku. Walaupun Pakcik Ali boleh dikatakan masih berada di dalam keadaan yang 'bingung' tetapi beliau tidak membenarkan anak dan isterinya untuk keluar menyaksikan bagaimanakah keadaan kanak-kanak yang telah dilanggarnya tadi.

Pakcik All membayangkan berbagai keadaan yang lebih buruk boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja iaitu sama ada keluarganya akan dipukul oleh masyarakat kampung kerana telah banyak cerita yang didengar oleh telinganya ramai pemandu-pemandu yang terlanggar binatang ternakan ataupun manusia di kawasan kampung berkenaan enggan berhenti dan terus melarikan diri kerana takut 'dipukul' oleh penduduk kampung tersebut.

Tetapi Pakcik Ali tidak sampai hati untuk meninggalkan keadaan tersebut begitu sahaja walaupun ia boleh berbuat demikian. Perasaan tanggungjawab di dalam dirinya membuatkan beliau pergi melihat keadaan kanak-kanak tersebut walaupun hatinya merasa takut.

"Pakcik berserah sahaja kepada takdir apa yang akan berlaku. Tetapi pakcik tidak benarkan isteri dan anak pakcik keluar dari dalam kereta. Jikalau mereka hendak buat sesuatu pun, biar-lah pakcik sahaja yang menerima akibatnya kerana pakcik yang terlanggar kanak-kanak tersebut, bukannya isteri atau anak-anak pakcik," ujar Pakcik Ali seterusnya. Tetapi nasib yang baik menyebelahi Pakcik Ali. Bak kata orang jikalau niat kita suci dan ikhlas, Allah akan sentiasa melindungi hamba-Nya. Masyarakat kampung tersebut malahan menolong Pakcik Ali untuk membawa kanak-kanak yang telah dilanggarnya ke hospital. Tetapi malangnya kanak-kanak tersebut mati dalam perjalanan akibat pendarahan di bahagian badan yang agak parah.

Keadaan tersebut sememangnya mengharukan perasaan Pakcik Ali sekeluarga tetapi yang paling menyayat perasaan beliau adalah apabila melihatkan ketenangan bapa kanak-kanak tersebut apabila terserempak dengannya sewaktu membuat laporan di balai polis. "Waktu itu pakcik berada di balai polis untuk membuat laporan tentang kemalangan yang terjadi kerana ianya telah menjadi kes polis," menurut Pakcik Ali lagi.

"Perasaan pakcik menjadi terharu apabila mengetahui lelaki yang kebetulan duduk di sebelah pakcik dan dikenali sebagai ustaz oleh anggota polis di situ adalah bapa, kepada kanak-kanak yang telah dilanggar oleh pakcik," ujar Pakcik Ali seterusnya.

Walaupun Pakcik Ali tahu kemalangan tersebut bukan berpunca darinya tetapi perasaan halusnya tetap terusik apabila terpandangkan wajah bapa kanak-kanak tersebut. Tanpa mempedulikan orang yang berada di sekeliling dan seolah-olah hilang perasaan malu yang ada pada diri Pakcik Ali ketika itu, beliau telah menangis teresak-esak kerana menyesali kejadian yang telah berlaku. Beliau sanggup menerima apa sahaja caci-maki yang mungkin dilemparkan oleh ustaz tersebut.

Tetapi sebaliknya perkara yang tidak terduga oleh beliau yang berlaku, ustaz tersebut telah menyabarkan dirinya dan mengatakan bahawa apa yang terjadi adalah kehendak Tuhan dan manusia tidak boleh mengelak dari menerima sesuatu kejadian yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Malahan ustaz tersebut turut menasihatkan dirinya agar bersabar dan bertawakal kepada Allah sahaja. Pakcik Ali terkejut mendengarkan kata-kata yang diluahkan oleh ustaz tersebut. "Ketenangan dan kesabaran pada wajah ustaz tersebut walaupun ia sedang berhadapan dengan orang yang telah melanggar anaknya seolah-olah mengejutkan pakcik dari mimpi," ujar Pakcik Ali lagi.

"Selama pakcik hidup, pakcik belum pernah lagi melihat orang yang setenang dan sesabar ustaz tersebut walaupun dirinya sedang berada di dalam kesedihan yang amat sangat akibat kehilangan anak yang disayangi," tambah Pakcik Ali dengan tenang.

"Setitis air mata pun tidak tergenang di kelopak mata ustaz itu, walaupun wajahnya menampakkan kesedihan. Tetapi kelembutan kata-kata yang dikeluarkan benar-benar membuatkan hati pakcik semakin sayu," ujar Pakcik Ali seterusnya.

Allah itu Maha Kaya, setiap kesedihan yang menimpa hambaNya, terdapat kenikmatan di sebaliknya itu. Walaupun kematian kanak-kanak tersebut menjadi suatu 'mimpi' yang buruk dan menakutkan bagi Pakcik Ali, tetapi ketenangan dan kesabaran bapa kanak-kanak tersebut dapat menginsafkan beliau.

Kalau dahulu Pakcik Ali sering marah-marah apabila berhadapan dengan masalah ketika menjalankan urusan perniagaannya, tetapi kini sifat sabar dalam dirinya mula kelihatan.

"Ramai rakan-rakan niaga pakcik merasa hairan dengan perubahan sikap pakcik. Ada di antara mereka yang mengetahui mengapa pakcik mula berubah perangai tetapi ada yang tidak tahu," ujar beliau lagi.

"Tetapi pakcik tak kisah sama ada mereka mengetahui ataupun tidak kerana apa yang penting kepada pakcik kini adalah sikap sabar, jujur dan ikhlas adalah penting dalam diri untuk dijadikan pegangan hidup dan menentukan kejayaan kita," tambah Pakcik Ali penuh keyakinan.

"Dahulu pakcik berjaya dalam bidang perniagaan dengan sifat pakcik yang tidak sabar tetapi kini pakcik lebih berjaya lagi dalam bidang ini dengan sifat sabar yang pakcik tanamkan sedikit demi sedikit di dalam diri," menurut Pakcik Ali lagi.

"Kalau kita ada wang sekalipun tetapi budi pekerti tidak seindah mana, memang pakcik tidak nafikan ramai orang yang akan berkawan dengan kita tetapi tidak lama dan kita mungkin tidak akan mendapat kawan setia. Orang tidak akan mengingati diri kita," tambah Pakcik Ali lagi penuh keinsafan.

"Pakcik menasihatkan berbuat baiklah sementara kita masih hidup. Sungguhpun manusia zaman ini tidak ramai yang mementingkan kebaikan orang lain, tetapi jikalau kita masih berpegang kepada budi pekerti yang baik, orang akan sentiasa mengingati kita," ujar Pakcik Ali seterusnya mengakhiri perbualan di antara kami.

Begitulah keajaiban kekuasaan Allah s.a.w. Dalam terpaksa menempuh suatu peristiwa yang sedih dan berat untuk ditanggung, terselit nikmat yang tidak ternilai harganya..





0 Komen:

Post a Comment