DALAM perkahwinan, pertengkaran suami isteri perkara biasa. Malah, ada menganggap ia sebagai rencah kehidupan bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri.
Namun, setiap pasangan inginkan rumah tangga aman tanpa sebarang masalah. Apakah penyebab timbulnya masalah dalam rumah tangga?
Berikut adalah lapan konflik menjadi punca pertengkaran dan cara mengatasinya.
1. Pendapatan
Pendapatan suami lebih besar daripada isteri sememangnya bukan perkara luar biasa. Namun, apabila berlaku sebaliknya masalah akan timbul.
Ini kerana suami akan berasa rendah diri kerana pendapatannya tidak dihargai manakala isteri berasa dirinya tunggak keluarga sehingga menjadi sombong dan tidak menghormati pasangannya.
Penyelesaian:
Walaupun pendapatan isteri lebih besar daripada suami, cuba bersikap bijaksana dan tetap menghormatinya sebagai ketua keluarga. Hargai dirinya walau berapa pendapatan suami. Jika anda berterusan mempersoalkan pendapatannya, lama kelamaan dia bosan dan akan timbul pertengkaran.
2. Anak
Ketidakhadiran anak dalam keluarga juga sering menimbulkan konflik berpanjangan antara pasangan. Mungkin selepas lima tahun perkahwinan, suami selalu menyalahkan isteri sebagai pihak yang mandul. Padahal, suami tidak mahu mendapatkan rawatan untuk mengetahui siapa yang bermasalah.
Penyelesaian:
Berbincang secara baik dengan suami dan bersama-sama membuat pemeriksaan. Jika doktor mengatakan anda dan suami sihat, kenapa harus saling menuding jari? Mungkin Tuhan masih belum mahu memberikan rezeki kepada anda.
Tuhan juga ingin menguji kesabaran anda dan pasangan. Jika masih juga belum dikurniakan cahaya mata sehingga 10 tahun atau lebih, berbincanglah untuk mengambil anak angkat.
3. Campur tangan keluarga
Kehadiran orang ketiga, misalnya adik ipar atau saudara-mara dalam keluarga kadang kala menimbulkan konflik dalam rumah tangga. Hal kecil yang sepatutnya tidak menjadi masalah berubah menjadi besar. Misalnya soal pemberian wang saku kepada adik ipar atau wang kepada ibu bapa.
Penyelesaian:
Anda harus bersikap terbuka. Sebelum anda dan suami memberikan bantuan, sama ada untuk keluarga anda atau suami, bawa berbincang mengenai jumlah yang harus dikeluarkan dan siapa yang harus memberikan bantuan.
4. Seks
Masalah seks turut menjadi titik bengik dalam perkahwinan. Biasanya suami sering mengadu mengenai ketidakpuasan selepas melayan isteri. Suami umumnya bersikap ego dan tidak mahu tahu. Pada hal, banyak perkara menyebabkan isteri bersikap seperti itu. Contohnya letih, tertekan dengan kerja di pejabat atau hamil.
Penyelesaian:
Isteri atau suami yang mempunyai masalah hubungan seks dengan pasangan, sebaiknya berterus-terang. Ia dapat mengelakkan pasangan tidak curiga dan menerima keadaan seadanya.
5. Keyakinan
Pasangan yang sudah berikrar untuk sehidup semati tidak mempersoalkan mengenai keyakinan mereka untuk mengharungi bahtera kehidupan. Namun, banyak persoalan timbul selepas berumah tangga sehingga penyebab berlakunya pergaduhan.
Penyelesaian:
Tetap berpegang pada janji itu dan cuba untuk saling menghargai. Walaupun di pertengahan anda atau pasangan sepakat untuk memilih perpisahan, sebaiknya ia tiada paksaan.
6. Mentua
Kehadiran mentua dalam rumah tangga sering menjadi masalah. Ini kerana ada anak yang terlalu mengikut cakap mentua sehingga mengabaikan isteri.
Penyelesaian:
Sekiranya anda tidak berkenan dengan komen atau teguran mentua, jangan tunjukkan riak wajah negatif di hadapannya. Cubalah berfikiran tenang, ajak suami bertukar fikiran suntuk mengatasi masalah.
7. Ragam berbeza
Menyatukan dua hati, bererti menyatukan dua peribadi dan selera yang tentu saja berbeza. Misalnya suami seorang pendiam, sementara isteri peramah dan cerewet dan belum termasuk soal hobi atau bersukan serta pelbagai benda yang ketara perbezaannya.
Penyelesaian:
Terima pasangan seadanya. Jika suami anda seorang pendiam, anda harus peramah. Cuba selami minat pasangan anda.
8. Komunikasi terbatas
Pasangan suami isteri yang sama-sama sibuk biasanya tidak cukup waktu untuk berkomunikasi. Paling-paling mereka bertemu ketika hendak tidur. Kadangkala, untuk sarapan pagi atau makan malam pun masing-masing tiba lewat.
Kurangnya atau tiada waktu berkomunikasi menimbulkan pengertian salah. Ini kerana suami tidak tahu masalah isteri, demikian juga sebaliknya.
Penyelesaian:
Sesibuk mana pun anda dan suami, tetapkan waktu untuk komitmen bahawa bersama keluarga adalah hal paling penting. Cari juga waktu bersama keluarga misalnya bersarapan dan makan malam bersama. Demikian juga dengan hari berhibur.
Usahakan untuk menikmatinya bersama keluarga. Walaupun anda dan suami bekerja seharian di luar rumah, namun keluarga tidak terabai sebaliknya keluarga dan karier harus seimbang.
Sumber : Harian Metro
Takwim Persekolahan Sesi 2025/2026
2 days ago
thx for ur info
ReplyDelete