Kalau anda katakan graduan masa kini ramai yang menganggur, anda mungkin silap. Tak ada istilah pengangguran dalam realiti hidup masa kini. Kat mana-mana pun kerja sentiasa menanti buat kita. Cuma nak atau tak nak saja.
“Alah, kerja tu budak SPM punya level, takkan aku nak kerja macam tu,” kata-kata macam ni dah biasa sangat saya dengar. Pelik dan ajaib, mengapa masih ada golongan masa kini yang tetap berfikiran sedemikian rupa?
Negara kita dah lama merdeka, kak, bang, dik. Maknanya, kita ni pun dah merdeka. Jadi, jangan asyik-asyik nak memenjarakan diri kita. Cuba bergerak sendiri. Ciptalah laluan yang tak pernah orang buat.
Macam itu baru dikata cemerlang, baru boleh dikata golongan berfikiran kelas pertama. Ini tak ada kerja aje, nak salahkan tak ada tempat. Bila mohon kerja, lambat dapat tawaran, kata peluang tak datang lagi. Awak yang tak datang pada peluang tu, macam mana peluang tu nak datang pada awak.
Betul, nak dapat pekerjaan yang betul-betul memenuhi kriteria dan kesukaan kita itu penting, penting sebab kalau tak ada minat segala pun tak jadi. Ya, betul tu.
Tapi kita tak boleh terlalu mengikut laluan yang telah sedia orang buat. Tak boleh banyak memilih. Masuk universiti bukan semata-mata nak dapat pekerjaan, dik. Salah matlamat tu.
Masuk universiti adalah untuk mendewasakan pemikiran, sikap dan cara bertindak kita. Ya, itu yang betul. Kalau sebelum masuk U dengan selepas masuk U sama saja pemikiran kita, maka gagallah usaha kita semasa di IPT tersebut.
Jadi, berubahlah dari sekarang. Gunakan segala kemahiran yang anda ada. Selagi mana anda menunggu peluang datang, anda akan terus ketinggalan, dan lebih ramai orang yang akan memintas anda dari belakang untuk menuju jalan kegemilangan, kecemerlangan.
Masuk U ke, tak masuk U ke, itu tak penting. Ambil bidang apa, itu pun tak penting sangat. Namun, apa yang jauh lebih penting adalah sejauh mana besarnya sumbangan kita kepada masyarakat.
Ubahlah fikiran kita, bergeraklah sendiri. Sampai bila mahu duduk di bawah telunjuk orang. Sampai bila mahu makan gaji. Anda dan kita semua ni ada banyak sebenarnya kelebihan, jadi cungkillah bakat istimewa kita itu.
Mana yang rasa sebenarnya dia hebat dalam aksi-aksi menjahit, dalam diam-diam asahlah lagi skill anda itu. Mana tahu esok-esok anda mampu menjadi tukang jahit tersohor, ada butik sendiri atau punya kelas-kelas menjahit persedirian secara profesional. Siapa tahu?
Yang pandai bab-bab memasak, tak salah pun kalau anda cuba untuk komersilkan hasil masakan anda tu. Tak cuba kita tak tahu. Betapa ramai manusia yang berjaya dengan restoran terkemuka dan syarikat-syarikat makanan bermula daripada sesuatu yang nampak macam mustahil. Maka cubalah.
Bagi yang mahir di bidang IT, pemasaran, atau apa-apapunlah, tak salah juga kalau anda bermula dari bawah. Belajar dari mereka-mereka yang jauh lebih berpengalaman dari anda. Mana peluang yang ada , terus ambil, jangan tunggu lagi. Kita tak tahu mungkin itu emas untuk kita tuai hasilnya suatu hari nanti.
Beza orang yang mahu berjaya dengan orang yang tak mahu berjaya adalah ditentukan dengan cara mereka berfikir dan bertindak, bukanlah dari gulungan sijil semata-mata.
Kenapa graduan kita ni ramai yang nampak macam menganggur. Eh, bukan menganggur, tapi sendiri yang tak mahu cari kerja.
1. Terlalu memilih kerja.
Bila terlalu sangat memilih kerja, habuk pun tak ada. Kerja tak cari kita, tapi kita yang kena cari kerja. Jadi, apa peluang yang datang itu maka ambillah.
2. Tak tahu potensi diri.
Ramai graduan masa kini yang gagal untuk mengaplikasikan kemahiran yang ada pada diri mereka. Mereka tak tahu apa sebenarnya yang ada dalam diri mereka. Ini satu kesilapan yang sangat besar. Mulai sekarang, cuba kenal pasti kelebihan anda itu dan gunakanlah ianya sebagai anjakan paradigma untuk anda mencapai kejayaan yang tertinggi di dalam hidup.
3. Pemikiran yang masih terkongkong.
Kerja kerajaan saja yang menjamin. Ungkapan ni dah selalu sangat kita dengar. Ya, kerja kerajaan itu terjamin tapi tak bermakna kerja swasta atau persendirian itu tak ada masa depan. Soalnya ialah sikap. Berpeganglah pada prinsip kejayaan kita ditentukan pada usaha kita sendiri, bukan orang lain.
4. Matlamat yang salah.
Bila matlamat yang anda letak kurang tepat, anda mungkin akan tersalah langkah, seumur hidup! Pasanglah matlamat anda mulai sekarang. Bina objektif yang spesifik. Yang penting biarlah relevan dengan kemampuan kita.
5. Pengaruh negatif persekitaran.
Kawan makan nasi ayam, kita pun nak makan nasi ayam. Member pakai kereta vios, kita pun nak melaram dengan vios. Sepupu duduk rumah besar, kita pun nak macam tu. Tak boleh macam tu. Salah satu masalah besar yang sedang dihadapi oleh graduan masa kini ialah sikap mereka yang mudah terikut-ikut oleh rakan dan persekitaran. Tengok kawan dapat kerja bagus-bagus siket, kita pun nak macam tu.
Dapat kerja yang macam low profile, jual mahal, tak mahu, tak ada minatlah kononnya, gajinya pun tak berpatutan. Nasihat saya, ubahlah pemikiran salah ini. Jadilah diri kita sendiri.
Nasib kita ni Allah dah tentukan atur jalannya kat sana. Jadi, tak usah risau-risau, ciptalah jalan anda itu. Penamatnya itu Allah dah bagi. Kalau perlu mula dari bawah, tak apa. Hari ini kita di bawah, tak bermakna esok-esok kita akan terus di sini.
Selamat bekerja, selamat mencari kerja, selamat menggunakan segala skill, bakat dan kelebihan yang anda ada!
0 Komen:
Post a Comment