Sertai Kami di Facebook

Please Wait 300 Seconds...!!!

x
Home » , » Antara Taat & Derhaka

Antara Taat & Derhaka



Kita biasanya mudah menerima nasihat doktor untuk makan ubat. Malah jika disuruh berpantang dari menyentuh makanan kegemaran kita pun kita akur. Bila diminta datang untuk menyambung rawatan, kita datang pada hari dan waktu yang ditetapkan dengan rela. Doktor akan berpuas hati kerana kita menaruh keyakinan pada dirinya dan ubat yang diberi. Dia berasa senang untuk terus memberi khidmatnya.

Begitulah gambarannya dalam rumah tangga. Jika suami sebagai ketua keluarga ditaati dan dipatuhi dengan penuh rela oleh isteri dan anak-anak, dia akan berasa senang dan puas, serta lebih berkeyakinan untuk melaksanakan tanggungjawabnya. 

Namun dalam realiti hari ini, tidak semua rumah tangga yang diwarnai suasana ketaatan sebegitu. Malah sering berlaku, isteri dan anak-anak sukar untuk akur dan pantang ditegur. Hingga ada kalanya ketaatan isteri terhadap suami hanya berwaktu. Iaitu bila `mood' tengah baik. Tapi waktu `bad mood'...sorry! 

Ini membayangkan bahawa bagi sesetengah kita, seni-seni dalam kehidupan berumah tangga sebagaimana digariskan oleh Islam tidak cuba dihayati. Apa itu ketaatan pun tidak cuba difahami, apalagi hendak dipraktikkan. Bagi yang faham, kadang-kadang sekadar tahu sedikit sebanyak tapi tidak memahami secara jelas Kenapa isteri patut taat kepada suami dan bagaimana yang dikatakan taat. Apa seni-seninya. 

Atau mungkin yang menjadi masalahnya sebab nafsu susah untuk ditundukkan. Ego dan kedegilan dalam hati susah dikikis. Hati tidak benar-benar merasakan suami sebagai orang yang patut diistimewakan. Lebih-lebih lagilah kalau suami tak berwibawa atau culas menunaikan tanggungjawab pada keluarga dan mendidik anak-anak. 

Semacam ada alasan bagi isteri untuk bermudah-mudah dengan suami, membantah keputusan suami, mengabai urusan rumah tangga dan acuh tak acuh mendidik anak-anak. Hati seolah-olah berkata, "Kalau dia boleh buat. Aku pun oleh!" 

Bayangkan kalau seorang ketua tidak ditua-tuakan, keputusannya tidak diterima bersama, kemahuannya sentiasa dibantah, tindak-tanduknya selalu dipersoal. 

Cukup bagi isteri untuk menyelami perasaan suami yang menghadapi keadaan ini dengan membayangkan bagaimana jika dirinya sendiri tidak ditaati oleh anak-anak. Anak-anak susah mendengar cakap ibunya. Disuruh pergi kedai, liat. Diberi pandangan tidak mahu dengar. Diberi tunjuk ajar tidak mahu ikut. Ditegur, dia melawan. 

Sebagaimana deritanya seorang ibu yang kata-katanya tidak didengar oleh anaknya, begitulah deritanya hati suami yang dipandang dengan sebelah mata oleh isteri. Sedangkan dalam sebuah rumah tangga, kedudukan suami sebagai ketua bukan sahaja telah ditetapkan dalam peraturan Islam, tetapi diterima juga oleh hati kecil atau fitrah 
setiap orang. Sebab itu tidak ada masyarakat normal yang meletakkan isteri sebagai ketua keluarga sedangkan suami masih ada. 

Bila ada ketua dalam keluarga, dia mestilah ditaati. Dipatuhi kata-kata, suruhan dan tegahannya. Kalau ada ketua tetapi tidak ditaati, apa ertinya dia diterima sebagai ketua. 

Oleh sebab itu, Islam memandang penting soal ketaatan ini. Ia merupakan perkara asas dalam menjamin kerukunan rumah tangga. Supaya berlaku jalinan hubungan yang harmoni antara ketua keluarga dan ahli-ahli keluarga yang lain. 

Apa Itu Taat? 

Secara mudah, taat itu ialah patuh, suka menurut, rela berkhidmat dan suka melakukan sesuatu yang disenangi oleh pihak yang ditaati. Tidak menentang kemahuan atau kesukaannya. Isteri patuh dan rela berkhidmat untuk suami. Anak-anak mudah menurut kata dan suka menyenangkan hati ibu ayah. 

Bagaimanapun, menurut Islam, seseorang isteri itu belum boleh dikatakan benar-benar taat jika ketaatannya kepada suami tidak bersandarkan ketaatan pada Allah. Begitu juga bagi seorang anak; dia belum boleh dikatakan benar-benar taat jika tidak menyandarkan ketaatannya kepada ibu bapa itu dengan ketaatan pada Allah. 

Dengan kata lain, taatnya isteri kepada suami dan taatnya anak kepada ibu bapa, mesti dibuat atas dasar hendak mencari keredhaan Allah. Misalnya, isteri setia menyambut kepulangan suami di muka pintu dengan wajah berseri dengan niat agar suami rasa bahagia, kerana memikirkan bahawa membahagiakan suami itu mendatangkan keredhaan Allah. Isteri menggagahkan diri untuk menyediakan hidangan buat suami walaupun dirinya agak keletihan, kerana dia faham bahawa Allah redha terhadap seorang isteri yang memberi khidmat dan layanan baik kepada suaminya. 

Rasulullah s.a.w. banyak mengingatkan kaum wanita tentang kelebihan menjadi isteri yang taat; antaranya melalui hadis yang bermaksud: 

"Wanita apabila solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya dan taat akan suaminya, maka masuklah syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani) 

Dalam hal ini, niat mencari keredhaan Allah dan mengharapkan syurga-Nya telah menjadi penjana kepada isteri untuk taat kepada suaminya. Jika boleh patuh pada arahan dan nasihat doktor untuk kesejahteraan tubuh, Kenapa tidak boleh patuh pada suami untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat! 

Dalam keadaan ini, isteri tidak akan merasakan adanya dilema antara taat kepada suami atau taat kepada Allah. Kerana hal-hal yang menuntut si isteri taat kepada suami, itulah juga jalan-jalan untuk taat kepada Allah dan mendapat redha-Nya. Dan derhaka isteri terhadap suami, itulah juga yang membawa derhaka kepada Allah dan mengundang murka-Nya. 

Banyak keterangan tentang kemuliaan suami dan perlunya isteri taat kepada suaminya. Antara lain, firman Allah yang bermaksud: 

"Dan para wanita punya hak yang sama sebagaimana kewajipan suami terhadap mereka dengan cara yang sebaiknya, tetapi para suami itu punya satu tingkat kelebihan atas isterinya." (Al-Baqarah: 228) 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: 

"Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah." (Riwayat Thabrani) 

Keinginan suami vs Perintah Allah 

Seandainya berlaku juga dilema untuk memilih antara dua: taat pada suami atau taat pada Allah, maka sudah pasti ia melibatkan perkara yang dimurkai Allah. Iaitu suami menyuruh isteri melakukan perkara yang Allah larang, atau meminta isteri meninggalkan perkara yang Allah suruh. 

Hal ini terjadi jika suami seorang yang tidak taat kepada perintah Allah, seperti meringan-ringankan solat, suka berjudi dan buat perkara-perkara haram lain. Sudahlah dia tidak taatkan Allah, dia mengajak pula isterinya menderhakai Allah. Misalnya, isteri disuruh tinggalkan solat atau diminta menanggalkan tudung bila keluar rumah. Jika ini berlaku, malanglah bagi isteri. Apa yang Allah larang, itulah yang suami suruh buat. Apa yang Allah suruh, itulah yang suami larang. 

Memang susah bagi isteri yang tersepit dalam keadaan seperti ini. Ia sangat menguji keimanan isteri. Tetapi jika isteri faham bahawa dia perlu mengutamakan perintah Allah dari segala-galanya, dia akan ada kekuatan dan dorongan untuk membantah kemahuan suami yang berlawanan dengan perintah Allah itu. 

Waktu itu tidak timbul soal isteri derhaka kepada suami. Kerana, ketaatan kepada suami yang dikehendaki oleh Allah ialah dalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan perintah-Nya. Ini sesuai dengan maksud hadis: 

"Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim) 

Membantahnya isteri dalam hal seumpama ini tidak dianggap terkeluar dari batas taat. Malah ia satu kebaikan bukan saja bagi dirinya, tetapi juga bagi si suami sendiri, selagi dalam soal-soal lain isteri tetap taat. 

Boleh jadi dengan ketegasan isteri menolak kemahuan suami yang melanggar syariat itu, membuatkan suami sedar kesilapannya. Sekurang-kurangnya suami tidak akan berasa ada orang menyokong kejahatannya, yang kelak boleh menjadikan dia bertambah jahat. 

Jadi ketaatan yang hendak ditumpahkan mesti mengikut urutan yang betul, dengan mengutamakan ketaatan kepada Allah melebihi segala-galanya; sesuai dengan maksud firman-Nya: 

"Hai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah, Rasul dan pemimpin di kalangan kamu." (An-Nisa': 59) 

Jika perintah taat ini tidak ditunaikan, bukan saja dosa dan neraka balasannya, malah hidup di dunia menjadi tidak berkat. 

Sebaliknya, dengan kita taat, hidup di dunia akan diberkati Allah dan kita mendapat keuntungan di akhirat. Bila isteri dapat mendahulukan ketaatan kepada Allah, barulah mudah untuk taat kepada sesama hamba Allah. Kerana andainya kepada Allah yang memiliki segala kesempurnaan itu pun isteri susah untuk taat, betapalah kepada suami yang tidak terlepas dari segala kekurangan! 



0 Komen:

Post a Comment