Cemburu Yang Dibenarkan
Sudah menjadi sifat semulajadi kaum lelaki memiliki rasa cemburu terhadap isteri. Dari satu segi, sifat cemburu seorang suami terhadap isterinya adalah dibenarkan kerana ia menunjukkan betapa ia mencintai serta menghargai isterinya.
Dengan kata lain kecemburuan yang dibenarkan oleh Islam ialah kecemburuan yang positif, yang menyebabkan seorang suami bersungguh-sungguh menjaga dan memelihara isterinya. Bahkan, Islam sendiri meninggikan kedudukan seorang suami yang mempunyai kecemburuan yang positif, dan sebaliknya Islam mencela suami yang tidak memiliki rasa cemburu terhadap isterinya, sebab suami seperti itu adalah suami yang dayus.
Di samping itu, Islam telah menjelaskan sejauh mana boleh cemburu kepada isterinya. Jika batas-batas ini tidak dipenuhi oleh suami, atau kecemburuannya melebihi ketentuan-ketentuan yang dibenarkan oleh Islam, maka sifat cemburunya tersebut boleh menggugat kedamaian dan ketenteraman suami isteri dalam rumahtangga mereka.
Oleh itu, para suami hendaklah benar-benar mengerti bahawa kecemburuan tersebut hendaklah menjurus kepada pemeliharaan serta mendorong untuk bersungguh-sungguh memberi penjagaan dan pemeliharan, kerana inilah yang dimaksudkan cemburu yang dibenarkan dalam Islam. Cemburu seperti ini tentulah akan menguatkan lagi struktur rumahtangga dan ikatan suami isteri.
Maka suami yang mempunyai maruah dan harga diri hendaknya mempunyai sifat cemburuyang positif kerana sifat tersebut adalah satu daripada sifat Allah swt dan sifat nabiNya Muhammad saw.
Sesungguhnya suami yang tidak mempunyai rasa cemburu apabila kehormatan dan maruahnya tercabar, tentulah ia akan membiarkannya. Sekiranya lelaki lain cuba menggoda dan mempermainkan isterinya, maka suami yang dayus tidak akan mengambil berat kepadanya. Suami seperti itu tentulah sudah termasuk golongan lelaki yang tidak mempunyai harga diri dan maruah.
0 Komen:
Post a Comment