Sertai Kami di Facebook

Please Wait 300 Seconds...!!!

x
Home » , » Cerpen : Kejahilan Senja

Cerpen : Kejahilan Senja


“Allahhuakbar, Allahhuakbar”. Serentak dengan seruan azan maghrib itu, aku terjaga daripada tidurku yang amat lena. Perlahan-lahan aku membuka tirai mata ini merenung hambar ke siling bilikku yang kelihatan usang tanpa hiasan ceria. Aku mengalihkan pandangan mataku ke meja tulisku mencari sesuatu. Jam berbentuk ayam jantan yang begitu setia berkokok mengejutkan tuannya tanpa mengenal erti penat dan jemu sudah menunjukkan pukul 7.35 malam. Ah! Celaka betul jam ni. Dari tadi tak habis-habis berkokok. Aku mendengus sendirian di dalam hati. Ternyata jam tersebut bagai tidak memahami makianku atau sengaja meneruskan kokokannya untuk menyeru aku bangkit menunaikan seruan Ilahi. Aku mengalihkan pandangan mataku ke sebelah kiri bilik. Kelihatan rakanku, Aza masih setia berpelukan dengan bantal busuknya tanpa mengambil hirau kokokan menggila jam ayam jantan tersebut. Hm.. Aza pun masih sedap layan tidur. Perasaan cemburu menguasai mindaku. Ternyata hasutan iblis menerawang di benak mindaku. Aku begitu malas hendak bangun. Tambahan pula aku dapat merasakan yang aku mempunyai teman setia dalam perjuangan melayarkan impianku di tirai mimpi senja. Perlahan aku menekan butang jam tersebut untuk menghentikan kebisingan kokokan tersebut. Ganggu aje. Maghrib-maghrib pun nak buat bising. Tak baik. Dengan spontan aku menggapai bantal busukku dan terus berpelukan menggamit mimpi indah tadi agar kembali menghuni lenaku.

“Hoi! Tak ingat Maghrib ke? Orang lain pun penat juga. Tapi taklah sampai terbungkam tak ingat dunia”, kali ini suara Jijon menampar pendengaranku. Dengan spontan aku bangun sambil memakukan mataku pada sesusuk tubuh lelaki kurus yang berdiri tegap di depanku.

“Apa kacau orang ni? Relaxlah brother. Kan waktu Maghrib tak habis lagi. Aku tahulah apa yang patut aku buat. Tak payah engkau nak sibuk-sibuk pulak”, kali ini aku begitu tegas membalas teguran Jijon. Aku lihat Jijon menggelengkan kepalanya sambil beredar perlahan meninggalkan bilikku. Hm.. baru engkau kenal siapa aku. Pandai-pandai nak ingatkan orang pula. Dia ingat aku ni bukan orang Islam agaknya. Tak tahu tanggungjawab pada agama. Pergi mampuslah!

Aku bangun dari tempat peraduanku sambil mencapai tuala mandi yang begitu usang tergantung tidak terurus di sudut bilikku. Dengan malas aku menanggalkan seluar pendekku. Tuala yang berwarna kuning kelusuhan itu aku kenakan di badanku. Mataku mencari-cari sabun mandi yang aku sendiri tidak tahu di mana letaknya. Nyata kehidupanku tidak terurus seperti seorang pelajar yang berdedikasi. Aku hanya tahu melayarkan impianku setinggi menara idaman. Dan aku hanya tahu menambatkan bicaraku pada helaian kebenaran. Tetapi aku sendiri belum pernah menemui perubahan yang dapat membawa aku ke jalan yang sebenar-benarnya. Teringat aku pada bicara Ustaz Shamsuri dalam kaset yang aku beli dua hari lepas mengenai kehidupan akhir zaman. Ada sesetengah manusia yang Islam pada paginya tetapi kafir pada petangnya. Iaitu manusia yang berbicara tentang kebenaran Islam pada pagi hidupnya tetapi perbuatannya tidak menggambarkan keislamannya pada sebelah petang kehidupannya. Mungkinkah aku berada dalam situasi ini. Atau mungkinkah aku tergolong dalam kelompok manusia yang berkelakuan sebegitu rupa. Ada kalanya aku sedikit menyedari yang aku sudah begitu hampir dengan situasi ini. Atau bolehlah dikatakan aku sudah berada dalam kelompok manusia seperti ini. Buktinya, aku sering membicarakan tentang haram atau halal sesuatu perbuatan. Dan adakalanya aku menjadi bahan rujukan masalah keagamaan daripada rakan-rakanku. Apabila ditanya, aku sering memberi hujah yang fasih lagi sempurna dalam isu keagamaan berkat daripada ilmu yang aku perolehi di sekolah pondok tujuh tahun yang lepas. Tapi aku masih keliru. Kenapa aku hanya pandai berbicara tentang agama sedangkan aku sendiri tidak pernah beramal ke atas ilmu yang aku perolehi. Aku tahu sembahyang itu wajib, tetapi aku sering kali gagal menyahut seruan agama ini. Mengapa? Aku rasa aku masih belum bersedia untuk menjawab persoalan ini.

Dengan lemah aku berjalan keluar dari bilikku dengan tekad untuk menuju ke bilik mandi serta bersedia untuk menunaikan solat Maghrib. Namun langkahku terhenti di persimpangan ke bilik mandi. Dari jauh aku mendengar irama petikan gitar yang aku pasti datangnya dari bilik Rani. Entah apa pula yang merasuk mindaku hingga memaksa aku berlari ke bilik Rani. Peh! Kelihatan Limi, Rani, John, Wak dan Aza sedang bergembira melayan irama petikan gitar yang dikemudikan oleh Limi. Nyata irama lagu metal yang dipetik oleh Limi berjaya menghambat ingatan mereka terhadap kewajipan mereka menunaikan solat Maghrib. Dan yang nyata, irama itu juga berjaya menghalau jauh nekadku yang baru aku tanam sebentar tadi.

“Woi! Apalah engkau ni On. Asyik tidur aje. Kalau asrama ni runtuh pun aku rasa engkau mesti tak sedar punya”, Limi menempelakku dengan kata-katanya yang aku anggap sebagai gurauan semata.

“Biasalah. Dia ni kalau Maghrib aje mesti burn punyalah”, kali ini John menyampuk tanpa memberi peluang aku membela diri.

“Eleh.. yang hangpa semua ni dok melalak tak ingat dunia tu ingat baguih. Pi mampuihlah woi”, baru aku berpeluang mengembalikan paku buah keras yang ternyata dapat menutup mulut mereka buat sementara waktu.

Dunia…. Aku pun tak tahu kenapa aku dan mereka ini dapat hidup di dalam dunia yang penuh dengan penipuan ini. Aku akui rakan-rakanku yang berdiri di depanku ini adalah antara rakan yang paling setia bersamaku. Aku juga mengakui yang aku telah begitu banyak menerima tunjuk ajar dan tak kurang juga menerima kekurang ajaran sikap mereka. Tapi itu adalah lumrah dalam persahabatan. Aku akui nasib mereka juga tak ubah seperti aku. Mereka juga begitu pandai berbicara tentang Islam. Tambahan pula Wak yang begitu fasih dan lancar membicarakan soal keislaman hinggakan adakalanya mampu memukau aku dengan hadis dan ayat Al-Quran yang aku rasa begitu hebat teratur daripada bibir mulutnya. Tetapi, mereka juga sepertiku. Hanya berbicara tanpa pernah mencari hala tuju sendiri. Hanya pandai berkata tanpa pernah mengatur haluan sendiri.

Yang aku tahu, aku dan rakan-rakanku ini bukanlah sendirian. Masih ramai lagi manusia di muka bumi ini yang bernama Islam pada lahirnya tetapi entah apa tafsiran agama pada dalamannya. Aku kadangkala ingin sekali merubah kehidupanku ini kembali ke zaman remajaku di mana aku seorang penggerak dakwah yang begitu setia menyebarkan ilmu keagamaan di negeri Perak. Dengan jubah dan serban yang tidak pernah renggang daripada tubuhku, aku begitu utuh menapakkan ajaran agama Islam tidak kira di dalam bas mahupun di simpang jalan. Tetapi aku rasa kehidupan aku pada masa lalu begitu sukar untuk digamit kembali. Aku kini sudah begitu jauh tersesat daripada susur perjalanan yang pernah aku bina dulu. Entah apa silapnya, aku sendiri tidak dapat memberi jawapannya. Hanya Allah yang maha mengetahui apa yang telah tersurat dan tersirat daripada rentetan kehidupan ini.

“Ya sheikh, dah sembahyang belum?” Kami dengan serentak mengalihkan pandangan pada Lebai yang berdiri segak di ambang pintu. Senyuman yang terpamer dari bibirnya begitu mesra menyapa hati nurani kami.

“Err…. Belum lagilah Lebai. Nanti kami sembahyanglah”, Aza tergagap-gagap menjawab soalan Lebai. Malu agaknya. Mana tidaknya, dah nak masuk Isyak masih lagi terlalak-lalak tak ingat dunia.

“Kalau belum, apa salahnya korang semua buat jemaah sesama korang. Dapat jugak pahala daripada korang melalak tak tentu arah macam ni”. Peh… Lebai punya ayat memang mampu melemahkan anggota badan kami. Rani yang paling awal meluru keluar bilik menuju ke bilik air. Nak ambil wuduk agaknya. Mandi tidak, apa pun tidak terus nak sembahyang. Nak cover malulah tu. Limi dan John dengan perlahan meninggalkan bilik menuju bilik masing-masing. Tak tahulah samada nak sembahyang ke apa. Tapi aku rasa mungkin mereka nak sembahyanglah tu. Limi dan John ni pantang kena tegur. Buatlah baik kejap. Aku? Masih lagi termanggu melihat sekeliling mencari arah. Nak buat apa pun aku tak tahu. Nak sembahyang ke tidak?

Inilah yang dikatakan manusia. Mungkin manusia dilahirkan dengan mempunyai otak untuk memudahkan mereka berfikir. Tetapi kenapakah minda yang Allah anugerahkan kepada mereka tidak mampu menangkis godaan syaitan yang direjam? Atau kenapakah minda yang Allah anugerahkan itu masih mampu terpinga-pinga mencari arah realiti? Kenapa ia masih gagal menentukan yang mana baik dan yang mana buruknya? Aku dapat mencipta rumusan sendiri di dalam benakku. Sebenarnya, aku rasa minda yang Allah anugerahkan itu tidak bersalah dalam perihal ini. Aku rasa sebagai manusia, aku mampu mengawal mindaku dan mencipta pemikiran yang sesuai berlandaskan kehendak agama Islam. Atau, sebagai manusia aku pasti mampu mencipta tuju arahku sendiri dengan berlandaskan petunjuk agama Islam.

Perlahan aku meninggalkan imaginasiku yang berkecamuk tanpa hentian jawapan yang pasti. Aku melangkah longlai menuju ke bilik air dengan satu lagi tekad baru. Aku ingin sekali menjadi manusia yang bergelar Islam sejati. Tetapi mampukah aku merealitikan impianku? Entahlah.. Mungkin esok, atau mungkin lusa, atau mungkin pada suatu masa nanti aku akan bertemu realiti yang dapat membawa aku ke sebuah dataran keimanan yang abadi dan suci. Semoga Allah membuka pintu hatiku dan rakan-rakanku untuk kembali menyahut seruan agama Islam yang abadi.































1 comment:

  1. Eem......karyamu tak jauh beda dengan aku,aku selalu memberikan nasehat ...tapi aku sendiripun sunguh tak sanggup tuk lakukan itu karna berbagai alasan yang tak bisa diungkapkan...berkata emng mudah tapi melakukan selalu terhalang dengan dingding yg tebal tuk melangkah pada yg Illahi,sedangkan kewajiban itu takkan menghabiskan waktu tuk kita melakukan kegiatan lagi tapi mengapa....????????
    Sunguh!!!masih lemahnya hati ini tuk mendengarkan seruan sang Illahi walaupun tau hukuman yg kan diterima nnti,jalan terjal selalu aku dapati setiap aku temukan jalan yg lurus pasti aku terhentikan sejenak dan kutemukan lagi.....bgtu dan bgtu hidupku saat ini......???

    ReplyDelete