SELAMAT hari guru! Ya, dalam kita mengejar cita dan impian, jangan sekali dilupa jasa dan pengorbanan insan-insan di balik kejayaan kita. Insan yang tidak pernah mengharap balasan, wang, atau segala pun melainkan kejayaan kita. Itulah seorang manusia yang dipanggil guru.
Sejarah Hari Guru di Malaysia.
Setiap tahun pada tanggal 16 Mei, kita akan menyambut hari bersejarah ini.
Dan sambutan ini adalah lantaran daripada peristiwa di mana pada tanggal yang sama tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu telah bersetuju menerima cadangan-cadangan daripada Laporan Jawatankuasa Pelajaran.
Dokumen itu yang juga dipanggil sebagai Laporan Razak telah menjadi dasar pelajaran bagi negara kita.
Tujuan Sambutan Hari Guru.
Bila ditanya, mengapa anda menyambut hari guru? Apa istimewanya, dan apa perlunya sambutan hari guru?
Tak dapat dinafikan bahawa setiap jenis sambutan dan perayaan yang disambut itu mempunyai nilai dan sebab untuk kita hayati, untuk menjadi perkara musabab bagi adanya suatu perayaan itu.
Hari raya aidilfitri contohnya, adalah hari dimana umat Islam semua bergembira dan meraikan selesainya ibadah sebulan berpuasa. Ibadah korban yang dilaksanakan juga adalah peluang untuk kita menghayati sirah pengorbanan nabi terdahulu, disamping memperbanyakkan amalan bersedekah.
Hari guru pun begitu juga. Enam objektif Hari Guru yang digariskan dalam laman web rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia:
- Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
- Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
- Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
- Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
- Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
- Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.
Kepada semua guru-guru dan pendidik di luar sana amnya, Khas buat guru-guruku (Sekolah menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal, Penang) yang pernah mengajar saya, kawan-kawan yang menjadi guru juga buat dua orang adik saya yang sedang menuntut di IPG di Kampus Pulau Pinang dan IPGM Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur....saya ucapkan SELAMAT HARI GURU, selamat berbakti dan selamat meneruskan perjuangan anda mendidik anak bangsa.
Tanpa anda, siapalah saya, siapalah peguam yang petah berhujah, siapalah doktor, siapalah akauntan hebat, siapalah bisnesman berjaya… tanpa anda, siapalah perdana menteri kita hari ini!
0 Komen:
Post a Comment